Saturday, July 13, 2013

Rumah Api Yang Mana Satu?

Berikut catatan yang saya temui di dalam laman sesawang Majlis Daerah Tumpat, Kelantan.

Bandar Tumpat dahulunya sebuah bandar pelabuhan yang masyhur di sekitar tahun 1900. Pihak berkuasa pelabuhan (Syahbandar) telah mendirikan rumah api di kawasan-kawasan yang strategik bagi kemudahan para pedagang atau pelayar keluar masuk ke pelabuhan khususnya di waktu malam.
Salah satu rumah api yang terawal yang dapat dikenalpasti ialah rumah api yang dibina ditepi pantai bersebelahan dengan jeti. Walau bagaimanapun, rumah api tersebut telah tiada lagi dan tempat tersebut kini dikenali dengan nama Padang Mahkota berdekatan dengan kawasan rumah Ketua Jajahan Tumpat.
Rumah api ini di bina dengan kayu setinggi lebih kurang 30 kaki bentuknya empat persegi dan meruncing ke atas. Di bahagian atasnya di buat perlantaian bagi menempatkan lampu.
Satu lagi rumah api yang di temui ialah yang kini terletak dalam kawasan stor K.T.M. Rumah api ini dibina daripada batu-bata, berbentuk bulat dan tirus ke atas. Ukuran lilit bahagian bawahnya 37' 9" dan tingginya 70 kaki. Tangga dibina di bahagian dalam rumah api ini bagi membolehkan seseorang naik ke atas untuk memasang dan memadam lampu.
Mengikut cerita lisan penduduk tempatan, rumah api ini dibina sebelum Perang Dunia ke-2 oleh pasukan marine bagi mengawasi perairan Tumpat.
Semasa Peperangan Dunia Kedua (1941-1945) negeri Kelantan yang di bawah pentadbiran tentera Jepun telah menggunakan rumah api ini untuk mengawasi kawasan perairan dari ancaman musuh dan memudahkan kapal-kapal tenteranya membuat rondaan di laut.
Kini dengan kemajuan teknologi yang canggih dalam bidang pelayaran, rumah api tidak lagi digunakan. Ia hanya tinggal menjadi bahan sejarah untuk tontonan umum kini dan akan datang.

Berdasarkan maklumat tersebut, maka pada 5 Jun 2013 saya telah melawat tempat tersebut (sebagai salah satu bahan penyelidikan saya). Berikut 2 daripada beberapa gambar yang saya mohon bantuan 2 staf (seorang perempuan dan seorang lelaki) KTMB merakamkan untuk saya, dan yang saya rakam sendiri:


Cuba nilaikan sendiri perkara-perkara berikut:
1. Semasa saya meminta seorang staf (perempuan) KTMB merakamkan untuk saya (sekitar jam 5 petang 5 Jun 2013), beliau dengan agak kasar dan masam muka memaklumkan kepada saya, "Eh, ni kawasan larangan ni... Orang luar tak boleh masuk. Ni kawasan KTMB". Tapi setelah saya katakan kepadanya  bahawa maklumat tempat ini tercatat di dalam laman sesawang Majlis Daerah Tumpat sebagai "PELANCONGAN. Tempat-tempat menarik", maka dia menjawab, "Tu saya tak tau la...". Namun dia tolong juga saya ambilkan gambar (kerana saya hendak gambar saya berada di dalamnya). Selang beberapa minit, seorang lagi staf KTMB (lelaki) keluar dari surau KTMB berdekatan, dan apabila saya memintanya mengambil gambar tempat yang sama (saya berniat mengujinya, "Apa dia akan kata..."), dia dengan senyum mengambil kamera dari tangan saya dan terus mengambil gambar beberapa keping untuk saya dan cuma berkata, "Sama-sama", apabila saya mengucapkan, "Terima kasih". Saya sebenarnya bersetuju dengan ungkapan staf wanita KTMB tersebut (walaupun saya tak setuju dengan nada bahasa yang "kurang bahasa" dan raut wajahnya yang masam) bahawa tempat tersebut adalah "tempat larangan", kerana, antaranya, ia terletak di dalam kawasan bidangkuasa KTMB, dan kawasan tersebut agak sensitif daripada aspek keselamatan kerana ia menempatkan stor dan juga kerja penyenggaraan gerabak, enjin dll bagi keretapi. Persoalanya, KENAPA TEMPAT TERSEBUT DIPROMOSIKAN SEBAGAI SALAH SATU TEMPAT PELANCONGAN? Saya cadangkan kawasan dimana terletaknya Rumah Api tersebut dipagar semula, dan dikeluarkan daripada "kawasan larangan" KTMB.
2. Gambar (terutama persekitaran) yang dipamerkan di dalam laman sesawang Majlis Daerah Tumpat ADALAH BERLAINAN dengan gambar yang saya ambil.
3. Papan tanda yang diletakkan berhampiran pangkal Rumah Api tersebut telah pun tiada. Jadi, TIADA MAKLUMAT tentang Rumah Api tersebut jika pelancong yang mengunjunginya ingin mengetahui tentangnya.
4. Tiada terdapat di mana-mana di dalam kawasan berdekatan yang memberi arah/petunjuk untuk ke Rumah Api tersebut, dan pada hari tersebut saya "berlegar-legar di sekitar Pekan Tumpat" untuk mencarinya sebab beberapa penduduk tempatan sendiri memberikan beberapa arah yang berbeza.

No comments:

Post a Comment