Sunday, September 17, 2017

Hak pengguna lebuh raya buat tuntutan kerosakan

Isnin, 12 September 2016 | 9:31am

Hak pengguna lebuh raya buat tuntutan kerosakan

FOTO hiasan.
TAHUKAH anda bahawa pengguna lebuh raya boleh membuat tuntutan ganti rugi daripada PLUS Malaysia Bhd, jika cermin kereta anda pecah terkena batu ketika menggunakan lebuh raya yang dikendalikannya?
Sebenarnya jika berlaku kerosakan pada kenderaan di lebuh raya PLUS ekoran objek asing atau disebabkan keadaan lebuh raya berkenaan, contohnya batu, tayar celup, kayu, binatang liar dan sebagainya, maka pengguna boleh membuat tuntutan ganti rugi kerosakan daripada pengendali lebuh raya berkenaan.
Berdasarkan pengalaman, pada akhir tahun lalu kereta Proton Inspira penulis mengalami kerosakan yang teruk pada bumper hadapan setelah terlanggar tayar celup ketika menggunakan Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) selepas susur keluar Setia Alam menuju ke Klang.
Sejurus selepas kejadian, penulis menelefon pihak PLUS bagi membuat aduan dan mereka meminta penulis berhenti di plaza tol paling hampir iaitu Tol Bukit Raja untuk membuat laporan.
Sesudah mengisi borang aduan, pihak Plus Ronda mengambil gambar kerosakan pada kereta penulis dan membuat salinan kad Touch 'n Go (resit tol jika tidak menggunakan Touch 'n Go), lesen memandu dan kad pengenalan.
Bagaimanapun, pampasan kerosakan berkenaan tidak diperoleh serta-merta, penulis perlu membawa kereta ke pusat servis untuk dibaik pulih terlebih dahulu dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.
Apabila siap baik pulih, penulis dikehendaki membawa salinan asal kos baik pulih kenderaan atau bukti pembayaran, salinan asal laporan polis, resit tol atau nombor siri kad Touch n' Go, gambar kerosakan kenderaan sebelum dan selepas dibaiki, salinan geran kenderaan dan salinan polisi insuran kenderaan.
Dalam tempoh kurang sebulan selepas menghantar semula dokumen yang diperlukan, penulis akhirnya menerima cek ganti rugi baik pulih.
PLUS menerusi laman web rasminya, ada mengeluarkan kenyataan pendek mengenai prosedur tuntutan ganti rugi jika berlaku perkara sebegitu, antaranya semua tuntutan kerosakan yang dikemukakan kepada PLUS akan disiasat dengan teliti dan diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Walau bagaimanapun, PLUS jelasnya, berhak untuk menolak tuntutan berkenaan jika siasatan yang dilakukan mendapati bahawa PLUS sudah mengambil langkah munasabah dalam menyediakan perjalanan yang selesa untuk semua pengguna lebuh raya.

No comments:

Post a Comment